Soleh dan Solehah


Assalamualaikum dan Salam semanis buah kiwi ^_^


Dalam fasa dua puluhan ni, perkahwinan itu menjadi tajuk penting dalam apa-apa topik perbualan. Kekadang, apabila kita sibuk bercakap soal itu ini.. di akhir topik nanti, kita diuji bab soal kahwin pula. Bila mahu kahwin? Sudah berkahwin atau belum? Dan pelbagai lagi soalan-soalan yang berkembar dengannya. Begitulah kehidupan. Mungkin, apabila buah sudah masak… sudah masanya untuk disabit.
Akil baligh, selalunya disinonimkan dengan perkahwinan. Katanya, sudah sampai masa. Sampai seru! Tetapi, usah kita lupa perihal akil baligh ini. Ia bukanlah soal kita sudah boleh berkahwin ataupun tidak. Ia adalah soal tanggungjawab. Ya. Tanggungjawab yang dimaksudkan, bukanlah semata-mata menjaga anak orang sahaja.
Tanggungjawab yang dimaksudkan adalah, matang dalam bertanggungjawab. Antara tanggungjawab kita sebagai seorang hamba terhadap DIA. Bagaimana mungkin seorang hamba itu boleh bertanggungjawab ke atas makhluk lain, sedangkan dia melepaskan tanggungjawabnya terhadap Tuhannya? Jadi, yang utama jangan kita abaikan. Insya-Allah, yang kemudian akan dipermudahkan.

Sebelum kahwin
Ramai yang berusaha mencari pasangan hidup masing-masing. Ia satu usaha yang baik dan relevan. Sehinggakan, statement mencari bakal imam dan bakal makmum bermain di dunia maya. Hampir setiap masa, sentiasa ada. Dalam mencari pasangan hidup boleh dikatakan semua insan mahukan yang terbaik.
Mahukan yang begitu, mahukan begini, faham-fahamlah sendiri. Tetapi, dalam proses mencari pasangan hidup, ramai yang bercita-cita besar untuk mendapatkan yang baik-baik, dan soleh solehah. Jika boleh, pasangan yang diinginkan nanti, seorang yang boleh solat berjemaah bersama-sama, taat kepada orang tua, menutup aurat dengan sempurna, bijak dalam bab agama, boleh membimbing, dan lain-lain lagi.
Itu baru sifat luaran yang boleh kita perlihatkan. Tetapi sifat dalaman pula, tidak ketinggalan. Segelintir daripada kita, mahukan kualiti. Sifat sabar, pemurah, sopan santun, syukur, redha, takwa… wah! Teropong hatilah jawabnya.
Selepas berkahwin
Suami isteri juga tidak ketinggalan. Kerana, pasangan suami isteri selalunya inginkan keluarga mereka menjadi baik. Sebuah keluarga yang taat dan patuh pada agama, keluarga sakinah. Si bapa, inginkan isteri dan anak-anak menjadi insan yang berguna. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain. Jika tidak si ibu, si anak juga sama. Fitrah manusia yang cintakan kebaikan!
Jadikanlah diri kita Soleh dan solehah. Berkeinginan, tidaklah salah. Yang salah adalah, apabila kita mengabaikan diri dan taksub pada keinginan diri semata-mata. Bersederhanalah dalam berkeinginan. Kerana, kita semua tidaklah sempurna!
Dalam proses menjadi baik, soleh dan solehah. Ia adalah proses yang berterusan. Mungkin, bakal pasangan atau ahli keluarga kita pada hari ini cuma baik pada satu sudut sahaja. Tetapi, tidaklah mustahil pada kemudian hari bakal pasangan serta ahli keluarga kita menjadi lebih baik lagi! Belajar dan terus belajar.
Bermula dengan diri sendiri dahulu. Ia adalah proses yang baik dan tepat. Kerana, kebergangtungan pada diri sendiri adalah lebih utama berbanding bergantung pada orang lain. Andai kita bergantung sepenuhnya pada bakal pasangan kita serta ahli keluarga begitu dan begini, boleh jadi, kita dapat sebaliknya.
Kekecewaan mempengaruhi perasaan. Muhasabah diri. Jika kita inginkan yang baik, kita perlu jadi baik terlebih dahulu. Jika kita rasa diri sudah baik, tetapi jawapan masih lagi belum tiba.. ia bermakna Tuhan ingin memberikan kita pasangan yang jauh lebih baik. Sekian…


(ingin menjadi yang halal untukmu )

No comments:

Post a Comment

 
♥ Copyright © 2013 reserved to Princess Pinky. Template Edited by sHaRiNa eLyaNa